| Other Language

A- A A+
default green red contrast

FUNCTION

Pengenalan

  1. Lembaga Rayuan merupakan satu badan yang diwujudkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang mempunyai sifat-sifat sebuah ’inferior tribunal’ dan melaksanakan fungsi ’quasi judicial’. Perkara-
    perkara yang dibawa kepada Lembaga Rayuan adalah berkaitan dengan pertikaian yang timbul antara dua pihak iaitu Pihak Berkuasa Perancang Tempatan dengan pihak awam yang terkilan dengan keputusan pihak berkuasa tersebut sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta 172.

  1. Dalam konteks yang lain, Lembaga Rayuan dilihat sebagai pelengkap kepada proses perancangan yang matang. Sejak Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun 1985, satu lembaran baru telah wujud di dalam proses perancangan bandar di Malaysia. Penglibatan badan penghakiman di dalam lembaga Rayuan telah membentuk elemen demokrasi (hak bersuara) orang awam terhadap keputusan pihak berkuasa perancang tempatan.

  1. Di Negeri Pulau Pinang , Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) telah diterimapakai dan berkuatkuasa mulai 1 Januari 1985. Seksyen 36 Akta tersebut memperuntukan suatu Lembaga Rayuan hendaklah ditubuhkan bagi mendengar dan memutuskan rayuan yang dibuat oleh pihak terkilan dengan keputusan Pihak Berkuasa Tempatan. Bermula dengan penubuhan Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang yang merupakan Lembaga Rayuan yang pertama di negara ini maka bermulanya hak-hak untuk merayu bagi pihak-pihak yang terkilan tersebut . Kaedah Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang mula diwartakan pada tahun 1989 dan kes pertama hanya dapat didengar pada tahun 1991.

Fungsi

  1. Lembaga Rayuan ditubuhkan bertujuan untuk memberi peluang kepada orang awam yang terkilan atau tidak berpuas hati di atas keputusan Permohonan Kebenaran Merancang yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Ia juga akan menimbang kes-kes tersebut dan akan membuat keputusan dengan adil berdasar perbicaraan.

Bidang Kuasa Lembaga Rayuan

  1. Sebagai satu badan berkecuali (independent body), Lembaga Rayuan yang diwujudkan oleh Pihak Berkuasa Negeri bertindak sebagai satu tribunal bertanggungjawab mendengar, mempertimbang dan membuat keputusan kepada kes-kes sebagaimana dinyatakan di bawah Akta 172 dan Akta (Pindaan) A933, Akta Perancangan Bandar dan Desa seperti berikut:-

  1. Notis Permintaan

  2. Rayuan Oleh Pemohon Terhadap Keputusan Majlis (Seksyen 23(1)(A) & (B)

  3. Amaun Pampasan (Seksyen 25(9))

  4. Amaun Pampasan Akibat Notis Permintaan (Seksyen 30(7))

  5. Rayuan Terhadap Perintah Pemeliharaan Pokok (Seksyen 35 C)

  6. Pampasan Di bawah Perintah Pemeliharaan Pokok (Seksyen 35 D)

  7. Rayuan Terhadap Perintah Menggantikan Semula (Seksyen 35 E)

  1. Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh perenggan 36(2)(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172), Pihak Berkuasa Negeri dengan persetujuan Menteri telah melantik Dato’ Yeo Yang Poh sebagai Pengerusi Lembaga Rayuan bagi sesi 2014/2017 dan YBhg Dato’ Amardass a/l Jethanand sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Rayuan bagi sesi 2015/2018. Ahli-ahli tambahan Lembaga Rayuan yang telah dilantik adalah seperti berikut;-

  1. YBhg Dato’ Tan Chong Meng

  2. YBhg Dato’ Dr. Sharom bin Ahmat

  3. YBhg Dato’ Ir Dr Lee Yow Ching

  4. Puan Sr. Lim Yoke Mui

  5. Ar. Teh Theam Seng

  6. Dr. Mohamad Amiruddin Fawzi bin Bahaudin

  7. Encik Lim Hooi Siang

  8. Encik Malkit Singh s/o Dalip Singh

  9. Encik Tan Thean Siew

  10. Encik Tharumarajah s/o Thiagarajan

  11. Encik San Markan Ganapathi

  12. Encik Chee Kong Chi.

  1. Bagi memastikan kelancaran perjalanan urusan Lembaga Rayuan, Kaedah-Kaedah yang disediakan di bawah Akta 172 memperuntukan seorang Pendaftar Lembaga Rayuan perlu dilantik. Sejak mula ditubuhkan sehingga kini tahun 2015, 7 orang Pendaftar Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang telah dilantik dan telah melaksanakan tugasan sepertimana yang diperuntukan oleh Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) serta Kaedah – Kaedah Lembaga Rayuan. Senarai-senarai pendaftar adalah seperti berikut:-

  1. Allahyarham Encik Jonid b. Md.Noor (Jun 1991-Mei 1996)

  2. Encik Ahmad Fuad b. Hashim (Disember 1996 – Mei 2011)

  3. Encik Abdul Aziz b. Abdullah (Jun 2001 – Mac 2004)

  4. Y.M Ku Mohd Lafdzi b. Ku Ismail (April 2004 – Ogos 2010)

  5. Cik Fakhriyah bt Hanafi (September 2010 – Julai 2011)

  6. Pn. Raimah bt Kassim (Ogos 2011 – 2014)

  7. Encik Annai Minsai ( Oktober 2014 – kini)

  1. Di Pulau Pinang, Lembaga Rayuan hanya mendengar pertikaian antara dua pihak yang boleh disifatkan sebagai ‘private law’ dan membuat keputusan berdasarkan fakta kes tersebut. Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Rayuan, maka pihak yang terkilan tersebut boleh memfailkan prosiding semakan kehakiman di mahkamah tinggi. Lembaga Rayuan hanya berperanan untuk menulis alasan penghakiman manakala kes tersebut akan dibawa oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati bagi mempertahankan pendirian masing-masing.

  1. Seterusnya mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan alasan penghakiman daripada Lembaga Rayuan dan hujahan-hujahan pihak terlibat. Sekiranya mahkamah bersetuju dengan keputusan Lembaga Rayuan yang telah dibuat mengikut undang-undang, maka mahkamah akan mengesahkan keputusan tersebut. Tetapi sekiranya Lembaga Rayuan didapati terkhilaf dalam membuat keputusan, maka mahkamah akan membatalkan keputusan tersebut. Dalam Konteks ini, Lembaga Rayuan tidak perlu membayar ganti rugi atau pampasan dalam kes seumpama ini.

DEWAN PERSIDANGAN LEMBAGA RAYUAN 2012-KINI

  1. Setelah lebih 20 tahun ditubuhkan, akhirnya atas inisiatif khas Kerajaan Negeri, sebuah Dewan Persidangan Khas disediakan di Tingkat 57, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) bagi memberi kemudahan kepada orang awam dan Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang yang mula digunakan pada 1 April 2012. Kemudahan sebuah Dewan Persidangan yang khusus seumpama ini dan yang pertama di kalangan negeri-negeri di Malaysia untuk pengendalian perbicaraan kes-kes yang lebih selesa dan sempurna.

  1. Inisiatif yang dilaksanakan ini merupakan kayu pengukur kejayaan sesebuah negeri yang bukan hanya bergantung kepada kepesatan pembangunan, tetapi penyertaan orang awam dalam hal ehwal pentadbiran dan awam.

SISTEM E-RAYUAN : LEMBAGA RAYUAN DI ERA BAHARU DIGITAL 2012 - KINI

  1. Lembaga Rayuan turut mengorak langkah ke hadapan dengan membina laman sesawang lebih mesra pengguna dimana orang ramai boleh mengakses atau membuat pendaftaran rayuan dan aduan melalui e-Rayuan yang berfungsi sepenuhnya tahun 2015. Dalam erti kata lain telah membangunkan sistem aplikasi sistem e-rayuan dalam tiga fasa yang bertujuan memudahkan perayu atau orang awam membuat rujukan dan pemfailan secara elektronik berkaitan kes-kes rayuan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Sistem Aplikasi e-Rayuan

    1. Satu Aplikasi Lembaga Rayuan yang pertama dibangunkan di Malaysia bagi memudahkan pengguna mendapatkan informasi tepat dan membuat pemfailan rayuan secara elektronik.

    2. Ciri-ciri utama ialah penyimpanan dokumen secara digital dan mengadakan ciri-ciri e-payment untuk membolehkan bayaran atau fi dikemukakan dibayar secara online.

    3. Aplikasi e-rayuan mengandungi tiga modul utama yang boleh pengguna akses iaitu portal web, portal dokumen dan portal rayuan.

Objektif / Justifikasi Pembangunan e-Rayuan

  1. Meningkatkan kualiti perkhidmatan sekaligus dapat meningkatkan tahap profesionalisme kerja di samping memberi kepuasan kepada pengguna.

  2. Memberikan pendedahan maklumat yang lebih mudah dan berkesan menerusi penggunaan sistem aplikasi berasaskan web.

  3. Menambahbaik sistem sedia ada dalam pengurusan permohonan rayuan.

  4. Memberikan pendedahan maklumat yang lebih mudah dan berkesan menerusi penggunaan sistem aplikasi berasaskan web.

  5. Menggunakan teknologi ICT terutama internet dalam menguruskan permohonan rayuan oleh perayu.

  6. Memberi perkhidmatan yang lebih efisien dan mudah dalam menguruskan hal berkaitan permohonan rayuan termasuklah pembayaran.

  7. Meningkatkan lagi penggunaan teknologi ICT dalam sektor kerajaan

Fasa Pembangunan e-Rayuan

  1. Fasa 1 bermula 8 Oktober 2012 : Melibatkan perkhidmatan melerai, mengimbas, menjilid dan mewujudkan daftar rujukan dokumen erayuan serta membekal, memasang, menguji dan mentauliah perkakasan erayuan iaitu 1 unit server dan 1 unit pengimbas A3.

  2. Fasa 2 Tahun 2013 : Pembangunan aplikasi online dan menghubungkan data-data daripada fasa 1 ke fasa 2 (Aplikasi e-Rayuan)

  3. Fasa 3 Tahun 2014-kini : Pelaksanaan dan pelancaran sistem e-rayuan.

  1. Kesimpulannya, penubuhan Lembaga Rayuan melengkapkan ‘learning circle’ sesebuah negara yang ingin maju. Impak penubuhan Lembaga Rayuan amat ketara kerana wujud satu entiti yang membuat keputusan di dalam satu keadaan terkilan pemilik, pemaju atau orang awam yang berkepentingan dengan keputusan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. Hal ini secara tidak langsung membuatkan Pihak Berkuasa Tempatan lebih berhati-hati dalam memberikan keputusan perancangan.

  1. Kini Lembaga Rayuan di era baharu digital akan memperkukuh dan membuat penambahbaikan berterusan seperti dengan pelaksanaan inisiatif Kerajaan Negeri dengan menyediakan kemudahan dewan persidangan khas dan pembangunan sistem e-rayuan bagi memberi kemudahan kepada orang awam sekaligus untuk pengurusan dan perjalanan Lembaga Rayuan yang lebih teratur dan cekap.

.

Cara Membuat Rayuan

Mengikut seksyen 23(1)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, seseorang yang telah membuat bantahan menurut seksyen 21(6) dan yang terkilan dengan keputusan pihak berkuasa perancang tempatan berhubung dengan bantahannya boleh membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh penyampaian keputusan itu disampaikan kepadanya. Rayuan hendaklah dibuat dalam borang yang ditetapkan yang boleh didapati dari Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang, Tingkat 57, KOMTAR, Pulau Pinang atau dibuat secara pemfailan elektronik melalui sistem erayuan yang boleh diakses melalui https://erayuan.penang.gov.my.

Bagi memastikan perkhidmatan yang diberi oleh kerajaan kepada orang awam adalah memuaskan dan adil maka Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan rayuan dikemukakan. Sebarang pertanyaan berkaitan dengan Lembaga Rayuan hendaklah dikemukaan kepada Urusetia.

Pendaftar,
Urusetia Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang
Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Pulau Pinang
Tingkat 57, KOMTAR
10000 PULAU PINANG
Tel: 04-650 5543 Faks: 04-263 7580

PrintEmail

mygovmscmampusukpenangtownplanmbppkpktspmchrmisimg.php

offcanvas
totop