penang2030

Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) sepatutnya diterajui serta dikendalikan oleh badan bebas yang boleh dipercayai untuk memastikan ianya lebih telus, ujar Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

“Selain EIA, semua syarikat pemaju kini diwajibkan memiliki laporan SIA untuk mana-mana projek pembangunan… permasalahan dan kekurangannya adalah apabila laporan-laporan ini lazimnya memang disediakan pihak pemaju sendiri.

“Secara logiknya, tiada pemaju yang akan sediakan laporan yang boleh menyebabkan projek pembangunannya diberhentikan, semestinya mereka (pemaju) akan memenuhi keperluan EIA dan SIA ini.

“Penyelesaian terbaik, laporan-laporan ini harus dikendalikan oleh badan bebas dan bukannya konsultan dilantik pihak pemaju yang sememangnya mempunyai konflik kepentingan,” katanya di sini tadi.

Bercakap pada Seminar Penang2030: Manual of Social Impact Assessment (SIA) & PORTAL SIA MAPPING, Jagdeep mencadangkan agar syarikat pemaju membuat bayaran kepada pihak Kerajaan Negeri, dan kerajaan akan melantik konsultan atau badan bebas untuk menyediakan laporan EIA dan SIA bagi projek pembangunan yang dilaksanakan syarikat terbabit.

“Jika syarikat pemaju yang melantik konsultannya sendiri untuk menyediakan apa jua laporan, mereka perlu membiayai dan membayar khidmat yang diberikan, ini bukanlah bersifat bebas atau telus.

“Apabila EIA atau SIA ini tidak telus, laporan yang diberikan ada menyembunyikan sesuatu dan setelah projek berjalan tiba-tiba berlaku insiden tidak diingini, maka Kerajaan Negeri juga yang perlu berhadapan dengannya,” ujarnya lanjut.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Yeoh Soon Hin (Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian); Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk TPr. Rokibah Abdul Latiff (Pengarah PLANMalaysia) dan TPr. Idris Abdul Rahim (Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang) turut hadir sama.

Serentak itu, Kon Yeow turut melancarkan SIA MAPPING, sekaligus menjadikan Pulau Pinang negeri yang pertama di dalam negara membangun dan menyediakan SIA MAPPING di atas inisiatif PLANMalaysia@Pulau Pinang.

Portal SIA MAPPING berkaitan diwujudkan bagi membantu proses membuat keputusan berkesan di dalam mengurus isu-isu sosial yang terhasil daripada sesuatu projek pembangunan berdasarkan laporan SIA disediakan.

Dalam pada itu, Kon Yeow ketika menyampaikan ucaptamanya memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberikan komitmen tertinggi terhadap segala pematuhan undang-undang dan syarat-syarat ditetapkan oleh agensi-agensi berwajib dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan terutamanya yang berimpak tinggi.

“Kita (Kerajaan Negeri) memberi jaminan bahawa projek-projek pembangunan di bawah Kerajaan Negeri tidak akan mula kerja-kerja fizikal di tapak selagi belum mendapat kelulusan daripada jabatan bertanggungjawab seperti projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dan Penang Island Link (PIL).

“Sememangnya di negeri-negeri lain mereka rasakan boleh mulakan pelaksanaan tanpa mendapatkan kelulusan ini, tetapi di Pulau Pinang kita tegaskan bahawa selagi tiada kelulusan, selagi kita boleh berusaha menambahbaik apa-apa ulasan dikemukakan oleh agensi wajib, maka yang wajib dipatuhi dan dipenuhi itu kita akan laksanakan.                                                                                                                                                                                              

“Kerana kebajikan dan keselamatan rakyat adalah menjadi keutamaan dalam pelaksanaan projek-projek ini. Diharap segala proses yang ketat ini sebagaimana dikenakan kepada Pulau Pinang, juga disyaratkan kepada mana-mana projek berimpak tinggi yang lain bukan sahaja kepada sosial, ekonomi dan juga alam sekitar,” serunya.




                                                                                                                                                                               Sumber : Buletin mutiara