Arial | PT Sans | Century
hubungi faq hubungi maklumbalas peta

Perutusan Pengarah

pengarah  

  YBhg. TPr Norjafni bin Zainuddin
Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang
(PLANMalaysia Pulau Pinang)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang (PLANMalaysia Pulau Pinang) terus melangkah ke tahun 2026 dengan komitmen untuk memperkukuh perancangan pembangunan negeri yang mampan, inklusif, berdaya tahan dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

Selaras dengan aspirasi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, jabatan terus memainkan peranan strategik dalam merancang dan menyelaras pembangunan fizikal negeri berpandukan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030) yang telah diwartakan pada 24 Oktober 2019. 

Seiring dengan perkembangan teknologi, PLANMalaysia Pulau Pinang komited memperkasa transformasi digital melalui pelaksanaan sistem SMARTPLAN, sebagai platform maklumat geospatial dan perancangan guna tanah; e-Rayuan, bagi menyokong pengurusan urusan Lembaga Rayuan; serta eMOSPlan, bagi memantau pelaksanaan dasar dan strategi perancangan negeri. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan jabatan dalam meningkatkan kecekapan, ketelusan dan aksesibiliti perkhidmatan kepada semua pihak.

Melangkah ke hadapan, jabatan turut memberikan penekanan terhadap hala tuju pembangunan Bandar Pintar Negeri Pulau Pinang ke arah tahun 2040, melalui pendekatan perancangan berasaskan data, integrasi teknologi geospatial, pembangunan infrastruktur digital serta penerokaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Digital Twin. Usaha ini akan terus diperkukuh melalui penyelarasan inisiatif Bandar Pintar dan kerjasama strategik antara agensi bagi membentuk persekitaran bandar yang lebih cekap, pintar, hijau dan berdaya huni.

Saya mengalu-alukan kehadiran semua pengunjung ke laman web rasmi PLANMalaysia Pulau Pinang yang berperanan sebagai gerbang informasi berkaitan dasar, rancangan pemajuan, perkhidmatan dan inisiatif jabatan. Berteraskan konsep “Maklumat di Hujung Jari”, platform ini diharap menjadi medium komunikasi yang lebih interaktif, informatif dan mesra pengguna.

Akhir kata, jabatan sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan membina daripada semua pihak demi penambahbaikan berterusan. Semoga usaha dan kerjasama yang terjalin menjadi pemangkin kepada pembangunan Pulau Pinang sebagai negeri pintar, hijau, berdaya saing dan mampan demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

Sekian

YBhg. TPr Norjafni bin Zainuddin
Pengarah
Jabatan Perancang Bandar dan Desa negeri Pulau Pinang
(PLANMalaysia@Pulau Pinang)